
KUALA LUMPUR – Petronas Dagangan Bhd meraih keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM281.25 juta pada suku ketiga berakhir pada 30 September lalu, berbanding RM335.13 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Perolehan bagi suku tahun yang dikaji menyusut kepada RM9.53 bilion berbanding RM9.73 bilion sebelum itu.
“Perolehan kumpulan bagi suku berkenaan menyusut sebanyak RM194.6 juta atau dua peratus terutamanya berikutan penurunan purata harga jualan sebanyak enam peratus meskipun terdapat peningkatan empat peratus jumlah jualan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Mengenai prospek, syarikat berkata, ekonomi domestik dijangka kekal berdaya tahan pada 2025, disokong penggunaan swasta yang kukuh, didorong inisiatif BUDI95 dan peningkatan jumlah kemasukan pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Inflasi diunjurkan kekal sederhana yang menawarkan persekitaran makroekonomi stabil,” katanya lagi, lapor Bernama.
Menurut Petronas Dagangan, persekitaran luaran terus menyebabkan cabaran di tengah-tengah ketidakpastian pasaran global berterusan dan jangkaan harga minyak lebih rendah.
Sementara itu, dalam makluman berasingan, syarikat terbabit mengisytiharkan dividen interim sebanyak 24 sen sesaham biasa bagi suku tahun berakhir 30 September 2025.








