
KOTA KINABALU – Nasib kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N42 Melalap bakal ditentukan pada 3 September ini apabila penyandangnya, Datuk Peter Anthony berdepan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika gagal mengemukakan petisyen pengampunan.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, perkara itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos lalu yang menolak permohonan Peter untuk mengkaji semula sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Seksyen.
“Sabitan terhadap Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu kekal dan memberi implikasi kepada kedudukannya sebagai ADUN.
“Menurut Perkara 17(1)(i) Perlembagaan Negeri Sabah, seorang ADUN yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan.
“Namun, beliau masih mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan petisyen pengampunan,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Rafflesia, DUN Sabah, pada Khamis.
Kadzim menjelaskan, Peter diberi sehingga 2 September untuk mengemukakan petisyen pengampunan kepada Lembaga Pengampunan.
“Sekiranya beliau tidak berbuat demikian dalam tempoh tersebut, maka kerusi Melalap akan kosong secara rasmi pada 3 September.
“Urusan lanjut berkaitan kekosongan kerusi itu, termasuk kemungkinan pilihan raya kecil (PRK), adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Beliau menambah, tiada PRK akan diadakan sekiranya kekosongan berlaku terlalu hampir dengan tarikh pembubaran automatik DUN Sabah pada 11 November ini.






