KUANTAN – Penganjuran Pesta Kuantan 188 2025 hujung bulan ini, bakal mencipta sejarah tersendiri.
Pesta itu dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 27 Julai, dengan deretan acara menarik disediakan kepada pengunjung.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infiniti Indah Sdn Bhd, Datuk Seri Omar Naresh Mohan berkata, pesta itu bersempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj pada 30 Julai serta 5 Ogos.
Memasuki tahun keempat penganjuran, pesta itu mendapat sokongan padu daripada barisan penaja dan agensi kerajaan negeri Pahang.
“Pesta Kuantan 188 2025 menyajikan pelbagai aktiviti menarik agar seisi keluarga dapat beriadah pada hujung minggu.
“Acara ini turut menonjolkan keunikan budaya dan rakyat Pahang itu sendiri.
“Setiap tahun, pelancong tempatan dan luar negara dari seluruh pelusuk dunia datang ke Kuantan dan merasai sendiri pengalaman bercuti di sini.
“Justeru, kami menjangkakan jumlah pengunjung melebihi sasaran iaitu 60,000 orang, malah diharapkan pesta kali ini lebih meriah dan gah berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pra pelancaran Pesta Kuantan 188 2025, di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut serta dalam majlis itu adalah Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim; Pengurus Kanan Kewangan dan Pembangunan Tourism Pahang, Syazilawati Mohamed Hazri; wakil Komunikasi dan Perhubungan Awam Petrosains, Aizuddin Shahbudin serta barisan penaja Pesta Kuantan 188 2025.
Omar turut memaklumkan, pengurusan Kuantan 188 juga akan mengadakan malam gala pada hari terakhir pesta itu di Hotel Zenith Kuantan bagi meraikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
Selain mendapat sokongan kerajaan Pahang, pesta berkenaan juga mendapat kerjasama rapat daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Tourism Pahang serta Kementerian Belia dan Sukan.
Acara gilang-gemilang itu bakal diserikan dengan persembahan artis terkemuka negara seperti Ella, Dayang Nurfaizah, Tomok dan Akim Ahmad.
Antara acara disediakan sepanjang pesta terbabit adalah terjunan BASE dan K188 Towerthon – yang mana peserta akan mencabar diri mendaki 524 anak tangga menuju puncak menara tertinggi di Malaysia – yang dikelolakan Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA).
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan kehebatan kerabat diraja Pahang mengendalikan bot pada kelajuan tinggi menerusi Kejohanan Powerboat F3000 di sepanjang Sungai Kuantan.
The Royal Pahang Dragon Boat Regatta 2025 menerusi kerjasama MBK akan membuka tirai acara dengan 24 pasukan keseluruhannya berentap merebut trofi, pingat dan ganjaran wang tunai.
Selain itu, terdapat pertunjukan kereta mewah oleh The Driverz Club Malaysia yang membawa 60 kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman Tanjung Lumpur serta Rapha Children’s Home Kuantan.
K188 e-Battle dengan sokongan Malaysia Esports Federation (MESF) juga diadakan khusus buat penggemar e-Sukan Mobile Legends dan pemenang akan membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000.



