
SRI AMAN – Selepas 22 tahun penganjuran Pesta Benak, bandar Simanggang semakin dikenali dengan jolokan ‘Bandar Benak Malaysia’ ekoran ianya kian mendapat sambutan daripada para pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara semata-mata hanya ingin melihat keunikan fenomena ombak benak ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, hasil penganjuran Pesta Benak ini juga telah memberi impak positif khususnya kepada para peniaga, usahawan, dan masyarakat setempat untuk mempromosi dan memperkenalkan sama ada hasil tani atau produk bagi menjana pendapatan.
“Antara sedar dan tidak sedar juga, kita dapat melihat impak dan kesan positif daripada penganjuran pesta ini, di mana para peniaga, usahawan dan juga masyarakat setempat mengambil peluang dan kesempatan untuk mempamer, memperkenal dan juga menjual hasil tani atau produk-produk tempatan bagi menjana dan menambah pendapatan.

“Apa yang boleh saya rumuskan di sini, penganjuran Pesta Benak ini sangat penting kepada semua masyarakat tidak mengira kaum, agama dan juga bangsa kerana ini adalah merupakan platfrom bagi masyarakat di Sri Aman ini amnya, untuk menjana pendapatan dan juga menyumbangkan kepada ekonomi bahagian Sri Aman ini”, jelasnya ketika berucap dalam Majlis ‘Soft Launching’ Pesta Benak Edisi Ke-22, di Tebingan Sri Aman, pada Jumaat.
Noorazah turut menambah, Pesta Benak Edisi Ke-22 tahun ini menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM135,560 yang bakal menjadi rebutan peserta regatta.
“Tahun ini kita akan menyaksikan hadiah kepada Raja Sungai Regatta Benak Batang Lupar adalah berjumlah RM25,000 dan juga dengan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai RM135,560,” ujar beliau.
Turut hadir adalah Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie Keling, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pegawai Daerah Lingga Frank Lani serta tetamu kehormat lain.

Majlis perasmian yang dijadual bakal diadakan pada 20 September akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg manakala penutupannya pada 21 September akan diserikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Untuk rekod, penganjuran Pesta Benak ini juga telah diwartakan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak dan turut merupakan salah satu acara tahunan bagi Bahagian Sri Aman.
Walau bagaimanapun, keunikan penganjuran Pesta Benak ini adalah ianya tidak memiliki tarikh tetap kerana tarikh penganjuran berdasarkan kepada fenomena air pasang besar atau “king tide”.
Tarikh penganjuran adalah bergantung kepada kesesuaian dan juga fenomena air pasang besar yang akan ditentukan oleh pihak penganjur, iaitu Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.

Foto: Pejabat Residen Bahagian Sri Aman




