
PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM20 juta bagi menaik taraf 30 buah sekolah yang terletak dalam kawasan kem tentera di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekolah-sekolah tersebut tidak berada di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebaliknya di bawah seliaan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan dan mengingatkan Jemaah Menteri berhubung usaha untuk menaik taraf serta membaik pulih 30 buah sekolah yang berada dalam kawasan kem tentera di seluruh negara.
“Semasa lawatan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa sejumlah peruntukan sebanyak RM20 juta akan diberikan kepada Kor Kejuruteraan Tentera bagi membantu kerja-kerja naik taraf fasiliti sekolah berkenaan,” katanya dalam sidang media mingguan di Menara Komunikasi, pada Rabu.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, peruntukan tersebut diharap dapat menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kemudahan dan keselesaan yang dihadapi oleh pelajar serta guru di sekolah berkenaan memandangkan ia tidak berada di bawah seliaan KPM.
“Kita harap peruntukan ini akan membantu menyelesaikan isu yang dihadapi memandangkan sekolah-sekolah tersebut tidak berada di bawah jagaan KPM, tetapi di bawah seliaan MINDEF,” katanya.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan bahawa Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa peruntukan penting semasa lawatan beliau ke Pangkalan TLDM Lumut.
Antaranya ialah peruntukan sebanyak RM65 juta untuk pembinaan kompleks klinik pakar serta kerja naik taraf Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pangkalan tersebut.
Selain itu, turut diumumkan ialah peruntukan khas untuk menaik taraf 34 buah sekolah yang terletak di kem keselamatan dan pangkalan tentera, termasuk penambahbaikan kemudahan seperti tandas dan makmal, demi memastikan keselesaan pembelajaran anak-anak anggota keselamatan.





