
KOTA BELUD – Penduduk Kampung Pangkalan Abai kini menikmati pelbagai kemudahan asas hasil pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI yang disalurkan secara langsung dengan peruntukan sebanyak RM1 juta tanpa kerenah birokrasi.
Program ini merupakan inisiatif cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkonsepkan pemimpin kerajaan kembali menyumbang kepada kampung asal masing-masing khususnya mereka yang kini memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan menyalurkan peruntukan terus kepada kampung membolehkan pelaksanaan projek dilakukan segera dan memberi impak pantas kepada penduduk.
“Contohnya, Kampung Pangkalan Abai yang mempunyai lebih 800 penduduk dan kira-kira 200 rumah menerima manfaat menerusi pemasangan 40 unit lampu solar, sistem perparitan untuk kawasan yang sering dilanda banjir serta paip bekalan air.
“Kelebihan program ini ialah apabila kita turunkan peruntukan terus kepada kampung dengan penglibatan pemimpin setempat serta agensi kawal selia yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Abai, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Saifuddin mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada KDN kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pangkalan Abai bagi menyokong keperluan pendidikan anak-anak di kampung itu.
Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan Pusat Khidmat Komuniti RELA dan Pondok Sistem Rondaan Sukarela (SRS) dan pelancaran inisiatif ‘I’m Volunteer’.
Sementara itu, beliau turut menyerahkan dokumen sijil kelahiran dan kad pengenalan, penyerahan zakat Perbadanan Bina Lembaran Tanah (PBLT) dan Program e-Kasih, serta penyerahan van jenazah lengkap bersama kit pengurusan jenazah sebagai usaha mempertingkat kesejahteraan dan kebajikan masyarakat secara menyeluruh.
Turut Hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, Datuk Seri Mohd Salleh Tun Md Said dan Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.