Pertandingan melastik serlah sukan rakyat, pupuk gaya hidup sihat belia

LIMBANG – Penganjuran pertandingan melastik yang berlangsung selama dua hari di Kampung Meritam berjaya menarik penyertaan peserta dari dalam dan luar negara sekali gus membuktikan sukan rakyat masih relevan serta berpotensi menjadi medium membudayakan gaya hidup sihat dan membendung gejala sosial dalam kalangan belia.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sukan rakyat seperti melastik bukan sahaja berfungsi sebagai aktiviti rekreasi, malah berperanan penting dalam mengekalkan warisan permainan tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun.

Menurut beliau, penganjuran pertandingan tersebut mencerminkan usaha berterusan masyarakat setempat dalam memelihara khazanah budaya agar tidak pupus ditelan arus pemodenan.

“Sukan rakyat ini penting untuk memastikan permainan tradisional kita dapat dikekalkan pada masa akan datang.

“Ia adalah warisan nenek moyang yang mencerminkan identiti dan nilai masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sukan Rakyat Kampung Meritam pada Sabtu.

Hasbi menjelaskan, penyertaan peserta dari Sarawak, Brunei, Labuan dan Sabah membuktikan pertandingan melastik mampu diangkat ke peringkat lebih tinggi serta berpotensi menjadi tarikan pelancongan komuniti.

“Penganjuran seperti ini bukan sahaja menghidupkan kembali sukan tradisional, malah dapat mempromosikan Kampung Meritam sebagai lokasi aktiviti sukan rakyat dan destinasi pelancongan berasaskan komuniti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan mengisi masa lapang golongan belia dan kanak-kanak dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat, khususnya pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.

“Kita bimbang sekiranya belia tidak disediakan dengan aktiviti sihat seperti ini, mereka akan mudah terjebak dengan perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan pelbagai gejala sosial lain yang boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan dalam sukan rakyat mampu membentuk disiplin, semangat kesukanan serta nilai kerjasama, di samping meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental.

Beliau turut menggesa masyarakat setempat agar menjadikan penganjuran pertandingan melastik dan sukan rakyat sebagai acara tahunan bagi mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan semangat perpaduan komuniti.

“Sukan rakyat mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang. Ia mewujudkan suasana harmoni dan saling bekerjasama dalam kalangan penduduk kampung,” katanya.

Hasbi turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Ketua Kampung Meritam serta jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan program tersebut dan berharap lebih banyak aktiviti kemasyarakatan berteraskan warisan dapat dianjurkan pada masa akan datang.

Program sukan rakyat itu dimeriahkan dengan pelbagai acara tradisional serta aktiviti kekeluargaan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk pelbagai peringkat umur.

Related Posts

KPTNS kekal platform pilihan utama penggiat seni Sabah

KOTA KINABALU – Majlis Perasmian Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) Ke-40 mencatat satu lagi sejarah penting dalam lipatan seni visual negeri apabila menerima sebanyak 977…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PROPUB beri pendedahan awal keusahawanan digital kepada belia Mukah

MUKAH – Program Pemerkasaan Usahawan Berjaya Program Pemasaran Digital (PROPUB) memberi pendedahan awal kepada belia di daerah ini mengenai asas keusahawanan dan penggunaan platform digital dalam perniagaan. Ahli Dewan Undangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sebaran berita palsu pembekalan diesel ke Filipina, individu disiasat

Sebaran berita palsu pembekalan diesel ke Filipina, individu disiasat

KPTNS kekal platform pilihan utama penggiat seni Sabah

  • By Ynom
  • April 18, 2026
KPTNS kekal platform pilihan utama penggiat seni Sabah

Sektor swasta pemacu utama Ekonomi MADANI – PM

Sektor swasta pemacu utama Ekonomi MADANI – PM

Kawalan akaun media sosial perlu, elak risiko dalam talian kanak-kanak – Pengamal undang-undang

Kawalan akaun media sosial perlu, elak risiko dalam talian kanak-kanak – Pengamal undang-undang

Angkut ‘si manja’ balik kampung, pemilik kongsi pengalaman dan cabaran

Angkut ‘si manja’ balik kampung, pemilik kongsi pengalaman dan cabaran

PROPUB beri pendedahan awal keusahawanan digital kepada belia Mukah

PROPUB beri pendedahan awal keusahawanan digital kepada belia Mukah