
KUCHING – Perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama terus menjadi kekuatan utama Sarawak dalam mengekalkan keharmonian serta memacu pembangunan negeri.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini bukan sahaja diraikan oleh umat Islam, malah menjadi simbol keharmonian apabila rakyat pelbagai latar belakang turut sama berkongsi kemeriahan melalui tradisi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka.
“Di Sarawak, Aidilfitri membawa pengertian yang lebih luas. Ia adalah manifestasi perpaduan masyarakat majmuk yang hidup dalam suasana saling menghormati dan bertolak ansur,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri 2026.
Menurutnya, Ramadan yang dilalui sebelum ini telah melatih umat Islam tentang nilai kesabaran, empati dan pengorbanan, manakala Syawal pula menjadi lambang kemenangan dalam memperkukuh iman dan membentuk masyarakat berakhlak.
Tambah beliau, nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab yang dipupuk sepanjang Ramadan perlu diteruskan dalam kehidupan seharian oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi berkata Sarawak terus mencatat kemajuan di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk melalui kerjasama strategik dengan World Bank dalam memperkukuh tadbir urus dan pembangunan ekonomi mampan.
“Selain itu, Sarawak turut memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi menerusi pembangunan teknologi termasuk peranti kecerdasan buatan (AI) serta penubuhan syarikat penerbangan AirBorneo, bagi meningkatkan kesalinghubungan dan merancakkan ekonomi,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan ekonomi hijau, tenaga boleh baharu serta pengukuhan ekonomi digital melalui Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) turut menjadi fokus utama dalam memastikan negeri terus berdaya saing di peringkat global.
“Konsep ‘Segulai Sejalai’ yang diamalkan mencerminkan semangat perpaduan rakyat Sarawak yang hidup saling memahami dan menghormati kepelbagaian budaya serta agama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memelihara perpaduan dan tidak membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan, petugas kesihatan dan penjawat awam yang terus berkhidmat sepanjang musim perayaan.







