KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kerjasama erat Persekutuan dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan negeri ini.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, sebanyak 60 peratus daripada perbelanjaan mengurus negeri masih bergantung dan ditampung oleh pemberian kerajaan Persekutuan.
“Projek kerajaan Persekutuan ialah pembinaan jalan dan jambatan di Kuala Sanglang bernilai RM195 juta serta menaik taraf jalan utama FT262 dengan kos RM80 juta.
“Projek menaik taraf paip air utama dari Loji Rawatan Air Timah Tasoh ke Tangki Air Kaki Bukit pula menerima peruntukan sebanyak RM36 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perlis 2025 di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Mohd. Shukri turut menyatakan sokongan kerajaan Persekutuan terhadap sektor pelancongan, termasuk peruntukan RM5 juta bagi pembangunan Projek Dataran Rehat Pesisir Pantai dan Siar Kaki di Laman Brasmana, Kuala Perlis.
Katanya, usaha promosi dan pembangunan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) juga mendapat perhatian penuh daripada agensi-agensi seperti Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Kerjasama ini membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan negeri Perlis terus seimbang dan inklusif,” ujarnya.
Beliau berharap kerjasama erat ini dapat diteruskan untuk memastikan kesejahteraan rakyat Perlis serta pembangunan mampan di masa depan.




