
PUTRAJAYA – Perlawanan sengit bagi kerusi Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi membawa mesej penting tentang masa depan parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua AMK Cabang Alor Setar, Harith Najmi berpandangan, perlawanan bagi kerusi Timbalan Presiden merupakan satu signal jelas dan menjawab persoalan tentang siapa yang akan mengetuai dan menggantikan kerusi presiden parti berkenaan.
Jelasnya, persaingan jawatan nombor dua itu bukan sekadar tentang siapa yang menang, tetapi tentang masa depan parti sebagai kekuatan politik reformis di samping ia merupakan kerusi hangat serta dinanti-nantikan oleh rakyat.
“Calon yang menang akan di posisi sebagai penerus utama, sekaligus mencerminkan kesediaan PKR untuk melalui proses peralihan kuasa secara terancang. Keputusan ini akan menjawab persoalan ahli akan persiapan untuk menerima ketua yang baharu bagi menggantikan Anwar dalam penerus mengetuai sebagai presiden parti.
“Saya melihat pemilihan ini juga menjadi medan ujian bagi keseimbangan kuasa antara faksi dalam PKR. Calon yang dipilih perlu menyatukan antara golongan ‘reformis’ dan golongan ‘baharu’ dalam parti jika ingin melihat parti ini kekal kuat dan relevan di masa akan datang.
“Ini kerana dua golongan terbabit merupakan aset terbesar bagi PKR. Keputusan pemilihan akan menentukan hala tuju ideologi parti sama ada kekal progresif atau lebih moderat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Dalam pada itu, Harith memaklumkan, calon dilihat memiliki kemampuan menyatukan pelbagai sayap parti dan menarik sokongan pelbagai kaum akan memberi kelebihan strategik kepada PKR, di samping mengekalkan kolaborasi yang jitu antara parti komponen dalam Kerajaan MADANI.
“Keputusan pemilihan ini juga kritikal untuk persiapan PKR menghadapi PRU16. Timbalan Presiden yang terpilih perlu memainkan peranan utama dalam memulihkan keyakinan pengundi, terutamanya selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.
Terdahulu, Nurul Izzah Anwar secara rasmi telah mengemukakan pencalonannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang merupakan individu pertama menghantar borang disusuli oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.
Namanya kini tersenarai di bawah kategori timbalan presiden, sekali gus mengesahkan spekulasi sebelum ini mengenai kepulangannya ke barisan kepimpinan utama parti.
Bagaimanapun, nama bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution tidak tertera di dalam senarai calon Timbalan Presiden buat masa ini.
Untuk rekod, penghantaran borang pencalonan bagi mana-mana jawatan dalam parti harus dihantar dalam talian selewat-lewatnya hingga jam 11.59 malam ini.
Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK dan Wanita berlangsung selama dua hari bermula semalam secara dalam talian.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei.