
KOTA KINABALU – Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) memperkukuh pemantauan kes Tuberkulosis (tibi) di negeri ini dalam usaha memastikan penularan penyakit berjangkit itu dapat dikawal secara berkesan, khususnya dalam situasi cuaca tidak menentu di Pusat Pemindahan Sementara PPS (PPS).
Menterinya, Datuk Julita Majungki berkata, kementerian kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi mempertingkatkan pemantauan serta memastikan akses berterusan kepada perkhidmatan pencegahan, saringan dan rawatan tibi di seluruh Sabah.
“Langkah tindak balas awal telah dilaksanakan termasuk pemantauan kes di lapangan, pengesanan kontak rapat dan pendidikan kesihatan kepada komuniti terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang namun terus berwaspada. Amalkan kebersihan pernafasan yang baik, pastikan pengudaraan mencukupi dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Ahad.

Menurut Julita, kawalan penyakit berjangkit memerlukan kerjasama semua pihak, terutama dalam keadaan penempatan padat seperti di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), yang berisiko meningkatkan penularan sekiranya langkah pencegahan tidak dipatuhi.
Terdahulu, Julita turut melawat PPS di SMK Tandek dan SMK Tandek 2 di Kota Marudu pada Sabtu susulan kejadian banjir akibat hujan berterusan.
Katanya, PPS berkenaan beroperasi dengan baik melalui penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bersama agensi terlibat.
“Beberapa kampung termasuk Kampung Beliajung, Kampung Tandek dan Kampung Marasinsim terjejas akibat kenaikan paras air, dengan operasi menyelamat dan pemindahan dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak polis.
“Keluarga yang terjejas dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga. Setakat ini keadaan cuaca dilaporkan stabil dan paras air menunjukkan penurunan. Tiada laporan kematian atau kecederaan diterima,” ujarnya.
Tambahnya lagi, KWKKR akan terus memantau keadaan semasa termasuk aspek kesihatan di PPS bagi memastikan kebajikan dan keselamatan komuniti terjejas sentiasa terpelihara, selain mengelakkan risiko penularan penyakit berjangkit sepanjang tempoh bencana.







