
JOHOR BAHRU – Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang berlangsung esok akan membincangkan tentang kerjasasama utuh dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU).
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu sejajar dengan tema ‘Membugar Kekuatan Mendepani Pilihanraya’ bersempena PRU16 nanti.
“Antara agenda yang bakal dibahas serta diputuskan adalah berkaitan dengan kerjasama bersama dengan UMNO/BN untuk PRN dan PRU yang akan datang.
“Ia antara lain turut menyentuh mengenai kesediaan Amanah Johor untuk berbincang bersama rakan dalam PH berkenaan kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini diberikan secara ihsan kepada parti MUDA di Johor,” katanya dalam kenyataan.
Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, konvensyen kali ini turut mengetengahkan isu berkaitan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh yang telah diperjuangkan selama ini.
Konvensyen Amanah Johor bertempat di sebuah resort di Skudai akan dirasmikan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Pada PRN Johor Mac 2022, BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
PH pula memenangi 13 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala PKR, Amanah dan Muda masing-masing satu kerusi.
Seterusnya, Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi tiga kerusi iaitu Bersatu (dua) dan Pas(satu).



