
KOTA KINABALU – Seramai 800 penerima manfaat di Sabah mendapat tajaan caruman perlindungan keselamatan sosial menerusi Program Lindung Kasih anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berlangsung di Hotel Lintas Platinum, di sini, pada Sabtu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif tersebut bertujuan memperluas perlindungan kepada golongan suri rumah dan pekerja sektor tidak formal agar mereka tidak terabai daripada perlindungan sosial.
Menurutnya, sebanyak RM21,500 diperuntukkan bagi menaja caruman 150 suri rumah melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan 50 individu bekerja sendiri melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
“Selain itu, saya turut mengumumkan penambahan 600 lagi tajaan caruman SKSSR untuk memastikan lebih ramai suri rumah mendapat perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan melindungi suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang yang turut menyumbang dana bagi menjayakan tajaan caruman tersebut.
Menurut Steven, SKSSR dan SKSPS merupakan jaringan keselamatan penting untuk menyokong kumpulan pekerja yang tidak tergolong dalam sektor formal.
Sementara itu, Steven turut mengingatkan bahawa Sabtu adalah hari terakhir Operasi Bulan Pemutihan PERKESO, yang berjaya memberi penjimatan sehingga RM100 juta kepada majikan dan melindungi lebih sejuta pekerja di seluruh negara.
“Saya menyeru semua majikan agar terus komited dalam membuat caruman kerana ini adalah tanggungjawab sosial yang tidak boleh diabaikan,” katanya.
Sebagai langkah pemerkasaan hak pekerja, beliau turut menggalakkan mereka memuat turun aplikasi PERKESO Prihatin bagi menyemak status caruman yang dibuat oleh majikan.
Katanya, program ini adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat kerajaan, yang menyasarkan liputan perlindungan sosial lebih menyeluruh, terutama bagi rakyat Sabah.
Dalam majlis itu, Steven turut menyampaikan faedah kepada 13 penerima di bawah Akta 4, Akta 789 dan Akta 800 dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM66,390.10.




