KUANTAN – Kerajaan negeri menerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang memberi sumbangan berbentuk 5,000 baucar petrol dan diesel kepada perantau negeri itu sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu dapat membantu meringankan tanggungan kewangan perantau anak Pahang yang ingin pulang berhari raya.
“Sejumlah 1,000 orang menerima baucar dalam majlis pada malam ini, manakala 4,000 lagi akan menerima baucar secara terus yang akan diserahkan kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing.
“Program berkenaan berbentuk pemberian baucar petrol sebanyak RM50 kepada 5,000 penerima adalah perantau anak Pahang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Baucar Minyak Petrol / Diesel sempena Program Moh Balik Beraya ke Pahang, di Stadium Titiwangsa, ibu negara, malam tadi.
Wan Rosdy memaklumkan, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada perantau anak Pahang yang mana sebanyak 21,671 permohonan diterima.
“Oleh itu, program berkenaan diteruskan lagi pada tahun ini membabitkan 5,000 orang penerima… sama seperti tahun 2024.
“Pada tahun ini, jumlah permohonan diterima pihak sekretariat adalah sebanyak 52,411 dalam tempoh lima hari permohonan dibuka,” katanya.







