
SEMPORNA – Perancangan menyeluruh, termasuk menambah fasiliti sedia ada perlu dilaksanakan bagi menjadikan Semporna sebagai daerah pelancongan yang hebat selain mengembangkan potensinya dalam sektor ekonomi biru.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daerah ini cukup istimewa kerana memiliki destinasi tumpuan dunia seperti Pulau Sipadan.
“Semporna juga mempunyai potensi perikanan dan aktiviti marin yang boleh dikembangkan menerusi penerokaan sektor ekonomi biru yang disasar mampu menyumbang hasil yang besar kepada rakyat dan negeri.
“Pegawai Daerah dalam taklimatnya juga ada perancangan yang baik untuk masa depan Semporna termasuk menjaga kebersihannya dan meningkatkan fasiliti lain seperti jeti di pulau-pulau dan lain-lain lagi.
“Semua ini akan dilihat secara menyeluruh,” ujarnya kepada media selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna ketika lawatannya di Pulau Mataking, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, jika dipelihara dengan baik, sektor pelancongan di Semporna mampu menjadi khazanah yang tidak ternilai.
“Kita perlu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan lagi kemudahan dan juga apa yang diperlukan di daerah ini selaras dengan pembangunan pelancongan Semporna, begitu juga di Lahad Datu dan Sandakan,” katanya.
Mengenai potensi ekonomi biru, Ketua Menteri berkata pembangunan sektor itu digariskan dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara usaha menambah hasil negeri.
“Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam lima tahun akan datang dan mudahmudahan ia menjadi aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan hasil negeri dan rakyat setempat,” katanya.

Terdahulu, Hajiji melakukan jelajah Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) yang bermula di Sandakan pada Selasa, sebelum ke Lahad Datu pada Rabu dan berakhir di Semporna pada Khamis.
Lawatannya itu untuk meninjau sendiri keadaan keselamatan terutama di pulau-pulau sekitar Pantai Timur Sabah.
Hajiji turut melihat keadaan pos kawalan keselamatam di pulau terbabit, selain mendengar taklimat mengenai pembangunan daerah di tiga daerah yang dilawati serta meletakkan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.




