Peranan PETROS diiktiraf, Petronas sedia jalin kerjasama strategik di Sarawak

KUCHING – Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedaulatan dalam sektor tenaga apabila peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai Pengagregat Gas tunggal di negeri ini diiktiraf secara rasmi menerusi Deklarasi Bersama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 21 Mei lalu.

Pelantikan PETROS yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024 membolehkan syarikat milik penuh negeri itu mengurus keseluruhan rantaian nilai gas asli termasuk perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas di seluruh Sarawak.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, pengiktirafan ini merupakan satu langkah positif yang membuka ruang kerjasama lebih mantap antara PETROS dengan syarikat-syarikat utama industri termasuk Petronas.

“Deklarasi Bersama ini jelas menyatakan bahawa peranan PETROS yang dilantik oleh kerajaan Sarawak sebagai Pengagregat Gas perlu dihormati dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak dalam semua aktiviti pengedaran gas di negeri ini,” katanya semasa sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Berbeza dengan negeri lain yang tertakluk kepada Akta Bekalan Gas 1993 dan Suruhanjaya Tenaga, Sarawak melaksanakan kawal selia industri gas melalui Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO 2016). Di bawah ordinan ini, seorang Pengarah Pengedaran Gas dilantik untuk mengawasi pelesenan dan pematuhan industri.

“Semua pemain industri termasuk Petronas yang terlibat dalam pengedaran dan penjualan gas di Sarawak perlu memohon lesen di bawah Seksyen 7 DGO 2016. Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya.

Sehingga kini, sebanyak 537 lesen telah dikeluarkan kepada pemain industri hiliran dan 14 lesen untuk sektor huluan. Dalam usaha memperkukuh pematuhan, sebanyak 10 notis ketidakpatuhan turut dikeluarkan kepada lima syarikat yang didapati beroperasi tanpa lesen sah.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak bersedia mempertimbangkan permohonan pengecualian pelesenan oleh Petronas bagi aktiviti yang tidak bercanggah dengan peranan PETROS, tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Kerjasama strategik antara PETROS dengan Petronas amat dialu-alukan kerana ia mampu menjamin kestabilan bekalan tenaga, menggalakkan pelaburan dan memberi manfaat terus kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap (SGR) kini giat dilaksanakan melibatkan pembangunan empat hab strategik iaitu di Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching.

Antara projek utama ialah loji janakuasa 500MW di Miri, pembinaan saluran paip gas sepanjang 65 kilometer dari Bintulu ke Samalaju, pelaksanaan Virtual Pipeline System (VPS) dari Bintulu ke Kuching dan pembangunan Hab Karbon Rendah di Kuching.

Tambahnya, kejayaan loji metanol pertama Sarawak, iaitu Sarawak Petchem Sdn. Bhd., telah meningkatkan penggunaan gas domestik daripada 6 peratus kepada 7 peratus sehingga suku keempat 2024 serta menjana 1,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Melalui pelbagai projek berimpak tinggi ini, Sarawak menyasarkan peningkatan penggunaan gas domestik kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030,” ujarnya.

Sebagai langkah meningkatkan keselamatan dan kualiti operasi industri, semua pemain utama industri gas di Sarawak akan diwajibkan memperoleh pensijilan ISO 29001 bermula tahun 2026.

“Ini membuktikan komitmen kita untuk terus memacu sektor gas ke arah yang lebih tersusun, mampan dan berdaya saing sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga yang berwibawa,” tegas Julaihi. 

Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

UMNO undang pemimpin tertinggi parti Melayu, Islam mula usaha pembentukan kolaborasi agung

KUALA LUMPUR – UMNO akan mengundang pemimpin tertinggi setiap parti politik Melayu dan Islam untuk memulakan usaha pembentukan kolaborasi agung dalam masa terdekat. Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Projek Hopecare tingkat akses air bersih komuniti luar bandar Limbang

LIMBANG – Pelaksanaan Projek Hopecare ‘Basic Of Life’ Limbang Rural Water Project disifatkan sebagai satu inisiatif amat signifikan dalam usaha memastikan akses kepada bekalan air bersih dan selamat dapat dinikmati…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMNO undang pemimpin tertinggi parti Melayu, Islam mula usaha pembentukan kolaborasi agung

UMNO undang pemimpin tertinggi parti Melayu, Islam mula usaha pembentukan kolaborasi agung

Kenyataan bertentangan gores UMNO datang daripada DAP ‘Team B’

Kenyataan bertentangan gores UMNO datang daripada DAP ‘Team B’

Projek Hopecare tingkat akses air bersih komuniti luar bandar Limbang

Projek Hopecare tingkat akses air bersih komuniti luar bandar Limbang

Ahmad Zahid diberi tanggungjawab jaga FELDA, FGV

Ahmad Zahid diberi tanggungjawab jaga FELDA, FGV

Maritim Tawau tahan bot nelayan tempatan, langgar syarat sah lesen

Maritim Tawau tahan bot nelayan tempatan, langgar syarat sah lesen

Sabah lancar pelan pengurusan warisan dunia baharu, tumpu isu perubahan iklim

Sabah lancar pelan pengurusan warisan dunia baharu, tumpu isu perubahan iklim