
KOTA KINABALU – Penyelidik dari Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menemui spesies baharu tardigrad marin di Labuan dan menamakan ia sebagai Batillipes malaysianus, sempena sambutan Hari Malaysia.
Ketua penyelidik, Profesor Madya Dr Chen Cheng Ann berkata, penemuan itu dibuat hasil tinjauan lapangan pada 29 November 2023 dan 16 September 2024, sekali gus mengemas kini rekod tardigrad marin negara buat pertama kali sejak 1967.
“Kami mendedikasikan penemuan serta penamaan Batillipes malaysianus sebagai tanda meraikan 68 tahun Kemerdekaan Malaysia.
“Walaupun kepadatannya amat rendah, ciri diagnostik yang diperhatikan mengesahkan ia spesies baharu kepada sains,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Penemuan itu diterbitkan dalam Journal of the Marine Biological Association of the United Kingdompada Jun lalu, menonjolkan kepakaran tempatan dalam taksonomi selain menekankan kepentingan pemuliharaan pantai sebagai habitat mikrofauna bernilai.
Menurut pasukan penyelidik, enam individu genus Batillipes ditemui sepanjang dua lawatan persampelan, termasuk satu spesimen yang dikenal pasti sebagai spesies baharu serta satu rekod baharu bagi negara, Batillipes rotundiculus.
Bahan jenis (type material) kini disimpan di Koleksi Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) sebagai rujukan saintifik kekal.
Pasukan penyelidikan itu diketuai Dr Chen bersama-sama dengan pelajar pascasiswazah UMS, Ng Wei-Ling; seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); serta Prof Dr Tadashi Kajita dari University of the Ryukyus, Jepun.
Dr Chen turut mengesyorkan tinjauan lebih meluas dan penggunaan kaedah molekul moden seperti eDNA bagi mendedahkan kepelbagaian sebenar mikrofauna marin Malaysia.






