
CADANGAN penyatuan politik antara UMNO dan Pas disifatkan tidak akan kekal serta hanya bersifat sementara, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, sekiranya terdapat perbincangan mengenai penyatuan UMNO–Pas dalam mesyuarat MKT UMNO akan datang, beliau akan menjadi ahli pertama yang menyuarakan bantahan terhadap cadangan tersebut.
“Kalau ada perbincangan penyatuan UMNO-Pas dalam mesyuarat MKT akan datang saya menjadi ahli MKT pertama akan bercakap membantah cadangan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Mohd Puad menegaskan penyatuan atas nama politik bukan idea yang baik kerana bersifat sementara dan akan berakhir dengan kekecewaan.
Menurut beliau, Pas hanya akan menggunakan UMNO untuk mendapatkan kuasa semata-mata sekiranya penyatuan itu direalisasikan.
“Sebabnya, kalau Pas boleh salah guna agama maka apatah lagi dengan UMNO. Pas akan gunakan UMNO hanya untuk mendapatkan kuasa semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun kerjasama itu kelihatan baik di atas kertas, Pas mempunyai pendekatan politik yang sukar diubah.
“Atas kertas memang cantik. Tetapi Pas ada penyakit politik yang sukar disembuhkan. Pas suka berkahwin cerai politik. Cepat berkahwin tetapi cepat juga bercerai,” katanya.
Mohd Puad berkata, Pas pernah menyertai beberapa gabungan politik termasuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan Perikatan Nasional (PN), namun kesemuanya berakhir dengan perpecahan.
“Masalahnya bila bercerai, gabungan politik itu akan tutup kedai selama lamanya,” katanya sambil menambah bahawa Perikatan Nasional hanya menunggu masa untuk berakhir.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerjasama politik secara longgar adalah lebih sesuai berbanding penyatuan penuh.
“Lebih baik tubuh kerjasama longgar. Ia mesti menyeluruh. Bukan setakat untuk PRU. Kalau kedua pihak ikhlas ia akan kuat dengan sendirinya,” katanya.






