PENYANYI pop terkenal Amerika Syarikat, Olivia Rodrigo menyuarakan kekesalan terhadap situasi kemanusiaan di Gaza, yang disifatkannya sebagai ‘mengerikan dan sama sekali tidak boleh diterima’.
Dalam satu hantaran di Instagram Story pada Sabtu, Rodrigo menyatakan rasa sedihnya terhadap penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin, khususnya golongan yang tidak berdosa.
“Mereka yang berada di Gaza — ibu, bapa dan anak-anak — sedang kelaparan, mengalami dehidrasi serta dinafikan akses kepada rawatan perubatan asas dan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Rodrigo menambah bahawa tiada seorang pun kanak-kanak — sama ada di Israel, Palestin atau di mana-mana jua — yang patut mengalami penderitaan seperti yang sedang berlaku kini.
“Ia amat menyedihkan dan langsung tidak boleh diterima. Jika kita berhenti mengambil peduli terhadap mereka, bermakna kita juga berhenti peduli terhadap nilai kemanusiaan yang kita kongsi bersama,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan bahawa dirinya telah membuat sumbangan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi membantu mangsa konflik, serta menggalakkan orang ramai yang berkemampuan agar turut berbuat demikian.
Sementara itu, rejim Zionis terus mengabaikan gesaan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata, dan meneruskan serangan ketenteraan ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Setakat ini, lebih 58,000 rakyat Palestin telah terbunuh — majoritinya wanita dan kanak-kanak — dalam serangan yang memusnahkan infrastruktur, mencetuskan krisis makanan dan menyebarkan penyakit di wilayah itu.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Israel turut berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan kejam terhadap Gaza.








