
KERAJAAN disarankan supaya memantapkan sistem penyampaian, komunikasi disesuaikan dengan keperluan setiap segmen rakyat agar segala maklumat dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan jelas mengenai keadaan ekonomi negara.
Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, statistik data mempamerkan keadaan ekonomi yang baik dari pelbagai aspek tetapi terdapat sesetengah masyarakat kurang memahami terma dan keadaan semasa pusingan ekonomi ketika ini ditambah dengan kos sara hidup masih kekal sama.
Azmi berkata, sebagai contoh, penyasaran subsidi minyak memberikan lebihan aliran tunai kepada kerajaan dalam menyalurkan inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada rakyat.
“Statistik data mempamerkan keadaan ekonomi Malaysia adalah baik. Tak kiralah sama ada kadar inflasi, wang ringgit Malaysia kita bertambah kukuh dan juga kita banyak mengeksport, kita mempunyai ‘trade surplus’ dengan Amerika Syarikat umpamanya dengan kebanyakan dengan negara lain.
“Maksudnya kita banyak mengeksport. Tapi hakikatnya adalah rakyat tak merasai kenikmatan ini. Seperti subsidi petrol yang, diesel yang dirasionalisasikan kembali dan kerajaan mendapat pendapatan yang lebih.
“Perlu diterangkan dengan betul bahawa lebihan pendapatan ini daripada rasional subsidi dan juga eksport-eksport Malaysia tidak diterangkan dengan jelas kepada rakyat bahawa ianya digunakan untuk membantu rakyat.
“Seperti ditambah bantuan STR, wang tunai. Tapi hakikatnya memang betul bahawa harga barangan masih mahal lagi,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Ahad.

Pada Jumaat, Kementerian Kewangan memaklumkan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia yang melonjak kepada 5.1 peratus pada 2024, melebihi unjuran awal kerajaan sebanyak empat hingga lima peratus, mencerminkan keyakinan dan kesungguhan Kerajaan Madani untuk mengubah ekonomi Malaysia.
Kementerian itu berkata, pencapaian ini dipacu oleh dasar yang jelas dan progresif yang diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka Ekonomi Madani serta disokong oleh kestabilan politik.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, rata-rata rakyat Malaysia menerima realiti kenaikan kos sara hidup, tetapi kerajaan juga tidak lepas tangan dalam mengawal kenaikan harga barang.
Tambah beliau, kadar inflasi negara kekal rendah pada kadar 1.7 peratus mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Disember 2024 berbanding negara-negara jiran lain yang lebih tinggi.
Justeru katanya, semua agensi kerajaan perlu berganding bahu memberikan pemahaman kepada rakyat sekali gus membina rantaian komuniti yang bijak dan cakna dengan perkembangan arus perdana.
“Rakyat menerima kepahitan hidup ini. Tapi dari segi keseluruhannya, kerajaan banyak membantu dalam memberi bantuan-bantuan dan seboleh-bolehnya mengekalkan harga barangan itu tidak melonjak dengan begitu banyak sekali.
“Seperti inflasi, kadar inflasi kita adalah jauh lebih baik dengan jiran-jiran kita.
“Jadi ini yang dikatakan bahawa mesti diterangkan kepada rakyat. Penambahan pendapatan negara, statistik ekonomi yang baik itu sebenarnya kerajaan gunakan kerana mendapat lebihan pendapatan untuk bantuan rakyat. Itu perlu dilakukan dengan secara mudah agar difahami oleh rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, media CNA melaporkan, video yang dimuat naik oleh pempengaruh HY Tan di platform Instagram pada 17 Ogos telah tular.
Menerusi video itu, Tan membuat kupasan bahawa ringgit Malaysia telah mengukuh dengan ketara begitu pada 2024 dan mengaitkannya dengan usaha padu kerajaan.
Video itu mendapat lebih daripada 660,000 tontonan, dan lebih 21,000 tanda suka.
Antara komen yang ditinggalkan oleh warga maya adalah mengenai isu kos sara hidup dan gaji.




