
KUCHING – Dua orang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya maut di Jalan Astana, Kuching pada Rabu sekitar 11 malam, antara sebuah motosikal dan kereta.
Menurut siasatan awal pihak polis, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang bergerak lurus di jalan tersebut melanggar sebuah kereta sedang membelok ke persimpangan Lorong 5, Jalan Astana.
Pembonceng motosikal merupakan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, penunggang motosikal yang berusia 32 tahun pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak.
Pemandu kereta, seorang lelaki tempatan, tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.




