
MIRI — Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan pacuan empat roda di Jalan Lutong–Kuala Baram, sekitar jam 10 pagi pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan memaklumkan mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Lutong menuju ke Miri telah melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, yang bergerak ke arah yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa memandu dengan berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Foto: Facebook Polis Daerah Miri



