
KUCHING – Seorang penunggang motosikal tempatan berusia lingkungan 20-an maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Stutong, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, nahas berlaku kira-kira jam 4.10 pagi ketika mangsa dari arah Bulatan Stutong menuju ke lampu isyarat Tabuan Tranquility.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal telah memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan kereta yang sedang bergerak lurus dari arah berlawanan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Umum Sarawak, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






