
KOTA KINABALU – Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Kepayan, di sini, malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kira-kira pukul 10.25 malam, satu kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian telah berlaku di jalan Kepayan berhampiran Flyover Aeropod.
“Kemalangan ini melibatkan seorang penunggang motosikal.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari arah Putatan menghala ke pusat bandar.
“Apabila sampai di Jalan Kepayan berhampiran Flyover Aeropod, penunggang motosikal tersebut disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan pada pukul 10.33 malam.
“Pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai untuk sentiasa mengamalkan pemanduan yang berhemah semasa menggunakan jalan raya, keselamatan semua adalah tanggungjawab bersama.





