
KUALA LUMPUR – New Zealand bersama ASEAN apabila komited untuk saling berpegang teguh terhadap kepentingan dialog serta rundingan dalam menyelesaikan sesuatu isu, berbanding penggunaan senjata.
Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon berkata, pihaknya mahu hubungan bersama ASEAN merangkumi pelbagai bidang antaranya pendidikan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital lebih kukuh pada masa depan.
Menurut beliau, New Zealand melihat kepentingan kerjasama lebih kukuh antara negara itu dan ASEAN, kerana masing-masing mempunyai peranan bersama dalam memenuhi kehendak global serta serantau.
“Hari ini, dalam dunia yang ‘diganggu’ dengan ketidaktentuan dan di rantau di mana kepastian yang diwarisi tidak lagi terjamin, ASEAN dan New Zealand masih berpegang teguh pada kepercayaan kita terhadap perkara sama.
“Ia adalah kepentingan kata-kata (dialog) berbanding senjata. Dialog adalah penting untuk meningkatkan persefahaman dan merapatkan perbezaan.
“Di bawah perkongsian strategik komprehensif, kita akan bertemu secara rasmi sebagai pemimpin dengan lebih kerap, iaitu setiap dua tahun yang membolehkan pertukaran idea dibuat bagi memacu perubahan dan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand yang diadakan julung kalinya, pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pembukaan pada sidang kemuncak itu yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
ASEAN dan New Zealand menjalinkan kerjasama melalui dua perjanjian perdagangan bebas yang komprehensif melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Australia–New Zealand (AANZFTA).
Sementara itu, Luxon berkata, hari ini kedua-dua pihak turut menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Udara Serantau yang baharu bagi mengukuhkan hubungan penerbangan antara negara ASEAN dan New Zealand
“Perdagangan dua hala ini (bernilai) sebanyak AS$30 bilion setiap tahun, dan kita menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Udara Serantau yang baharu, di sini hari ini,” katanya.
Pada masa sama, Luxon melahirkan penghargaan terhadap kuasa dan suara ASEAN dalam menangani isu penting yang memberi kesan kepada semua.
Beliau berkata, ASEAN membantu menjadi tunjang kepada kerangka serantau yang stabil dan makmur berdasarkan undang-undang antarabangsa, dalam suasana perdagangan yang kekal terbuka.
“Tahun ini istimewa kerana ia menandakan tahun ke-50 legasi gandingan perkongsian antara New Zealand dan ASEAN dan ia disifatkan penting bagi menetapkan hala tuju masa depan bersama.
“Kerjasama ini harus menjadikan kita semua lebih makmur dan selamat dalam dunia yang mencabar. Kita mendasarkan hubungan kita pada keamanan, perkongsian dan rasa hormat,” katanya.






