KANGAR – Seorang penolong pendaftar nikah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menerima rasuah bernilai RM26,300 sebagai upah memproses pendaftaran pernikahan luar negara tanpa mengikut prosedur.
Tertuduh, Mohd Isa Abdul Karim, 53, yang juga seorang imam, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S. Sujatha, yang mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, serta penjara sehingga 20 tahun.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 5 Disember 2022 hingga 24 Oktober 2023 di sebuah bank di Kuala Perlis.
Dia dituduh menerima tujuh suapan berasingan berbentuk wang bernilai antara RM3,000 hingga RM4,700 sebagai upah memproses pendaftaran perkahwinan luar negara di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), yang tidak mengikut prosedur seperti yang termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006.
Pegawai pendakwa SPRM memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan pasport tertuduh diserahkan, selain tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan.
Namun, peguam tertuduh, Ariff Azamin Hussein, merayu agar jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 memandangkan tertuduh mempunyai sembilan anak untuk ditanggung, memperoleh elaun imam hanya RM850 sebulan, serta menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
Mahkamah akhirnya menetapkan ikat jamin pada RM10,000 dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh wajib melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan. Tertuduh dilaporkan berjaya membayar wang jaminan tersebut.






