
KOTA KINABALU – Sebagai usaha mempromosikan batik Malaysia agar lebih dikenali, penjawat awam berperanan penting dalam mengekalkan identiti batik dengan lebih mengenali dengan jelas berkenaan batik.
Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah, Abdul Rahman Omar berkata, perkara itu selaras dengan pekeliling perkhidmatan yang telah ditetapkan kerajaan apabila penjawat awam perlu mengetahui batik Malaysia agar tidak tersalah pilih.
Beliau berkara, pihaknya juga berperanan memberi maklumat berkaitan motif batik Malaysia kepada seluruh penjawat awam.
“Jika kita lihat setiap kali kita pakai batik, batik ini ada banyak motif, ada yang ‘claim’ batik Indonesia, batik China, maka hari ini kami datang dengan niat untuk menerangkan apa itu batik Malaysia secara jelas supaya selepas ni kita boleh sampaikan kepada rakan-rakan di luar bagaimana batik Malaysia sebenarnya.
“Negara lain juga memakai batik, namanya berbeza namun motifnya tetap motif batik, maksudnya, kita kena wajib pakai baju batik Malaysia sahaja semasa bekerja berdasarkan empat motif Batik Malaysia,” katanya ketika berucap semasa Taklimat ‘Ini Batik Malaysia’ Sempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2024, di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, pada Khamis.
Empat jenis batik Malaysia adalah Batik Terap, Batik Lukis, Batik Skrin, Blok dan Batik Alternatif.
Jelas Abdul Rahman, kerajaan juga telah menggariskan pemakaian batik Malaysia sebagai pakaian rasmi bagi kakitangan awam pada hari-hari tertentu khususnya Khamis dan Jumaat.
“Batik Malaysia adalah cerminan jiwa bangsa, warisan seni budaya dan kreativiti anak tempatan, maka sebagai penjawat awam menjadi tanggungjawab kita untuk memperkasakan seni dan budaya negara dengan mengaktifkan pemakaian batik Malaysia.
“Tahun ini merupakan kali keempat Sambutan Hari Batik di peringkat negara diraihkan, hari ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memartabatkan batik sebagai simbol kebanggaan negara,” tambahnya.
Sementara itu, Pereka Bahagian Rekaan dan Penyelidikan Kraftangan Sabah, Allbendoy Widin berkata, di negeri ini terdapat lima lokasi utama pengusaha batik yang aktif iaitu Kota Kinabalu, Labuan, Keningau, Sandakan, dan Lahad Datu.
“Penghasilan sesuatu batik bukan sesuatu yang mudah, tetapi memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menghasilkannya kerana batik mempunyai pelbagai reka corak, seperti di Sabah identiti motif reka coraknya adalah lebih kepada bersifat simetri.
“Pembelian atau tempahan juga boleh dibuat secara dalam talian di MYCRAFTSHOPPE atau mendapatkan maklumat lanjut industri batik secara digital di CraftOnTheGo (COTG), E-Kraf Bazar (EKB), dan MYCRAFTMUSEUM,” katanya.





