KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan waktu bekerja bagi penjawat awam seluruh negeri Pahang pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan ini berakhir jam 12.30 tengah hari.
Baginda bertitah, keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada penjawat awam beragama Islam meluangkan lebih masa bersama keluarga serta memuliakan hari Jumaat yang juga penghulu segala hari.
Titah baginda, keputusan itu dipersetujui dan diluluskan kerajaan negeri dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Februari lalu.
“Keputusan dan kemudahan diberikan ini untuk memberi peluang kepada penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadan, di samping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari.
“Saya berharap semua akan menunaikan solat Jumaat. Jangan siapa-siapa ponteng pula,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur kali ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, malam tadi.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan umat Islam menjadikan Ramadan yang bakal tiba sebagai waktu terbaik kembali kepada fitrah serta mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.
“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.
“Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya.
“IImu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titah baginda.




