
KUCHING – Peniaga bazar Ramadan diharap dapat menjaga kualiti makanan yang disediakan kepada pengunjung.
Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching, Dr Ngien Hie Ung berkata, langkah ini supaya peniaga bazar Ramadan tidak menyediakan makanan yang menyebabkan keracunan makanan.
“Ada banyak makanan menarik di bazar Ramadan tetapi saya berharap pengunjung sentiasa menjaga kesihatan diri,” katanya.
Dr Ngien berkata, program ini juga memberi peluang kepada peniaga untuk menjana pendapatan selain memudahkan orang ramai untuk pelbagai juadah yang enak.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Bazar Ramadan MEDITEL di HUS Kuching.
Menurutnya, terdapat juga inisiatif penjagaan kesihatan percuma kepada pengunjung sepanjang bazar berlangsung.
Selain itu, ujar beliau, garis panduan kebersihan dan keselamatan turut diberikan supaya kebersihan dan kualiti makanan terjaga.
Difahamkan sebanyak 33 gerai menjual makanan, minuman serta reruai pakaian disediakan di bazar Ramadan pada tahun ini, yang kini memasuki edisi keempat penganjurannya.








