Oleh: Mai S, Siti, A. Athirah
KUALA LUMPUR – Bermula 1 Oktober lalu, kerajaan telah menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang bertujuan untuk mengekang kebolehdapatan produk merokok dan tembakau dengan mudah kepada orang awam khususnya kanak-kanak dan remaja di bawah umur.
Justeru, wartawan The Malaysia Press telah membuat tinjauan di sekitar kawasan tumpuan orang ramai, Bukit Bintang untuk meninjau sejauh mana pelaksanaan dan pematuhan masyarakat terhadap inisiatif kerajaan dalam menjaga kesihatan awam ini.
Tinjauan TMP mendapati, laluan-laluan pejalan kaki yang menjadi kawasan tumpuan orang ramai sudah dinaikkan papan tanda ‘Dilarang Merokok’, namun masih ada segelintir warga asing dan pelancong tidak dapat mematuhi arahan merokok di kawasan umum.
Selain itu, tinjauan di beberapa premis perniagaan dan pusat jualan bahan-bahan merokok dan rokok elektronik pula mendapati pelaksanaan dari segi meletakkan papan tanda amaran merokok dan larangan menjual bahan merokok kepada golongan bawah umur juga dipatuhi.
Menurut Tahanum Tahmi, 22, penjual bahan merokok dan rokok elektronik (vape), walaupun peniaga sudah mematuhi peraturan berdasarkan Akta 852, namun masih ada segelintir masyarakat yang sukar untuk menahan diri daripada merokok di tempat awam.

“Kawasan sini (sekitar Plaza Sungai Wang) ada yang patuh dan mereka akan tanya dulu di mana tempat yang boleh merokok, saya akan tunjuk depan sana (kawasan yang tiada papan tanda larangan).
“Kalau ada pembeli berumur 18 tahun ke bawah yang nak membeli rokok atau vape, saya takkan jual dan terus tunjuk papan tanda ‘Larangan menjual hasil tembakau kepada orang di bawah umur 18 tahun’ untuk mereka faham,” katanya ketika ditemui.
Begitu juga dengan Hyde, 39, pekerja di sebuah kedai serbaneka berkata, tiada orang merokok di kawasan yang terdapat papan tanda larangan merokok.

“Di kawasan premis ini, saya tidak nampak orang-orang merokok tetapi di kawasan ‘busking’ (persembahan jalanan) ramai yang tanpa segan silu merokok.
“Orang-orang dekat sini juga banyak merokok sambil berjalan tapi bukan di kawasan larangan merokok, katanya ketika ditemui pada Khamis.
Menurutnya lagi, premisnya memang sudah meletakkan papan tanda dilarang merokok dan juga papan tanda penguatkuasaan Akta 852.
“Kadang-kadang ada perokok-perokok degil yang hisap rokok sambil berjalan sehingga menyebabkan asap-asap rokok terkena makanan yang dijual di tepi jalan, sehingga menyusahkan peniaga tersebut.
“Tapi kami sebagai penjual dan pekerja sudah sedia maklum dengan penguatkuasaan akta ini dan sedar akan akibat yang bakal diterima sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah pekerja warganegara Bangladesh itu, dia juga pernah berdepan dengan situasi remaja bawah umur yang cuba untuk membeli rokok di premis perniagaannya.
“Itu hari, ada budak Malaysia nak beli rokok dekat sini tapi saya tidak mahu jual kepadanya kerana sudah maklum tentang larangan jual kepada bawah umur tetapi budak itu mula marah-marah dan masih mahu beli, saya tak hiraukan sahaja.
“Kalau ditangkap merokok tempat awam kena denda RM1,000. Kalau mereka tidak takut lagi, saya pun tidak tahu nak buat macam mana lagi,” tambahnya.
Turut terkesan ialah seorang peniaga makanan jalanan, Ali, 21, yang berkata tindakan semberono perokok yang sesuka hati menghembus asap rokok di tempat awam menyusahkan peniaga sepertinya lebih-lebih lagi apabila asap rokok tersebut terkena pada makanan.

“Kadang-kadang ada juga yang merokok dan asap rokok atau vape itu terkena pada makanan yang saya dan peniaga lain jual, kita tidak boleh nak marah pada mereka.
“Walaupun tahu susahkan perniagaan tetapi saya tiada hak untuk menegur, saya hanya boleh minta mereka supaya merokok di belakang premis agar ia tidak memberi kesan kepada kualiti makanan saya,” katanya ketika ditemui.




