KLUANG – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan agar tidak terpengaruh dengan isu pergeseran antara Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok.
Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, perselisihan antara dua pemimpin itu bersifat peribadi sebaliknya tidak dijadikan pertimbangan untik pengundi tidak keluar mengundi pada Sabtu ini.
Menurutnya, pengundi seharusnya membuat pilihan secara lebih rasional selain perlu memikirkan pilihan raya kecil (PRK) kali ini bertujuan memilih seorang pemimpin yang boleh membawa suara rakyat dan menjadi penghubung antara kerajaan negeri.
“Isu itu bersifat peribadi dan saya berharap pengundi membuat pilihan mengikut rasional… kita mahu pilih seorang calon yang boleh bekerjasama dengan YB Chew (ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin) dan saya sendiri, untuk jaga kepentingan rakyat di Kluang.
“Kita bukan nak pilih ADUN di kawasan lain, tetapi kita sedang pilih ADUN Mahkota untuk orang Mahkota, jadi pastikan anda semua keluar mengundi,” katanya pada majlis ramah mesra bersama media di kilang kopi tempatan The Kopi Factory.
Berbaki dua hari kempen, isu perbalahan antara Akmal dan Teresa terus dijadikan modal pembangkang untuk menghakis sokongan terhadap calon mewakili kerajaan perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah.
Malah, terdapat pihak tertentu menyebarkan surat layang menghasut pengundi Cina agar tidak mengundi calon BN pada PRK Mahkota untuk ‘memberi pengajaran’ kepada UMNO yang didakwa sombong.
Bagaimanapun, beliau menyeru pengundi yang tinggal di luar Kluang akan pulang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.
“Kita tahu mereka baru saja pulang minggu lepas untuk sambutan Pesta Tanglung dan mungkin keberatan untuk pulang semula Sabtu ini,” katanya.




