PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap keberanian sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disifatkan mewakili suara dan perasaan majoriti rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin di Gaza.
Perdana Menteri berkata, keprihatinan dan simpati mendalam rakyat Malaysia terhadap penderitaan penduduk Gaza terbukti melalui pembabitan sukarelawan negara dalam misi kemanusiaan itu.
“Mereka mewakili denyut nadi, perasaan majoriti rakyat negara kita dan memberi sumbangan besar.
“Sumbangan mereka bukan sahaja kepada perjuangan ini, tetapi juga kepada masyarakat manusia seluruh dunia yang sering lena dengan kemewahan dan penipuan, hingga membiarkan kezaliman berlarutan begitu lama,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyaksikan pementasan Teater Perdana Sungai Mengalir Lesu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, malam tadi.
Anwar menegaskan, sumbangan besar sukarelawan itu tidak boleh dipandang ringan kerana mereka membuktikan bahawa manusia tidak mungkin ditekan atau dinafikan hak untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau sudah berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang sukarelawan negara yang ditahan, meskipun masih terdapat beberapa individu menghadapi kesukaran untuk pulang dan kini masih berada dalam tahanan rejim Zionis Israel.
“Ada juga beberapa individu yang merasa sukar untuk kembali kerana masih mengharapkan misi mereka itu berhasil.
“Kami masih cuba memujuk, namun yang terbaik adalah mereka kembali dahulu dan kita susun semula kekuatan bersama sahabat-sahabat seluruh dunia,” katanya.
Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.








