KEMAMAN – Penggunaan gajet yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar sekolah termasuk sekolah rendah perlu diseimbangkan dengan amalan membaca.
Pegawai Penerangan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Kemaman, Ahmad Nadhir Yob berkata, pendedahan kepada gajet tidak dapat dielakkan kerana generasi kini hidup dalam era Revolusi Industri 4.0.
“Namun perkara asas dalam pembelajaran iaitu kemahiran membaca tidak boleh ditinggalkan bahkan mesti diseimbangkan dengan penggunaan gajet pada masa ini,” katanya ketika berucap merasmikan program Merdeka & Hari Malaysia@NADI di Perpustakaan Awam Kemaman hari ini.

Sementara itu, pengurus NADI Command Centre, Asmamiza Iskandar berkata, program Merdeka & Hari Malaysia@NADI diadakan serentak di semua pusat NADI di seluruh negara.
“Di Kemaman, program melibatkan pertandingan mewarna dan dekorasi donat merdeka. Sambutan daripada pelajar sekolah sangat memberangsangkan dengan lebih 50 peserta terdiri daripada murid sekolah rendah sekitar Chukai,” katanya.
Program itu turut mendapat kerjasama Perpustakaan Awam Kemaman yang menjadi lokasi operasi NADI Kemaman Command Centre.






