
BALINGIAN – Pengguna media sosial terutama Komuniti MADANI di Kuala Mas Balingian perlu berhati-hati dengan tawaran menarik di media sosial.
Ketua Komuniti MADANI Kuala Mas Balingian, Khairunisa Habi Rahman berkata, masyarakat perlu sentiasa berwaspada dengan tawaran yang terlalu menarik.
“Ramai sudah terjerat dengan penipuan ‘scammer’, maka penyesalan tiada berguna kerana pihak berkuasa menghadapi kesukaran membanteras jenayah ini,” ujar Khairunisa.
Tambah Khairunisa, orang ramai dinasihatkan tidak panik sekiranya wang dalam akaun mereak dipindah tanpa kebenaran dan jangan berkongsi kata laluan sebarangan.
“Tindakan segera perlu diambil dengan menghubungi talian 997 yang dikendalikan oleh Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk mendapatkan bantuan atau membuat laporan kepada pihak berkuasa,” ujar Khairunisa ketika berucap dalam Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai Komuniti MADANI Kuala Mas Balingian di Masjid Nur Iman Kampung Kuala Balingian pada Rabu malam.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kecil Balingian, Matsukarmi Suani berkata, Komuniti MADANI memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih.
“Ketepatan dan kesahihan maklumat sangat penting dalam membanteras maklumat palsu sekali gus mengelak penyebaran fitnah,” ujar Matsukarmi.
Tambah Matsukarmi, Komuniti MADANI diwujudkan untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat mengenai dasar kerajaan dan tidak terpengaruh dengan dakyah palsu yang memecahbelahkan keharmonian masyarakat.








