
ALOR SETAR – Pengguna jalan raya di sekitar Jalan Hutan Kampung kecewa dengan kepimpinan kerajaan hari ini kerana masih gagal menaikkan taraf jalan itu.
Jalan sepanjang empat kilometer itu dikatakan jalan utama bagi mereka untuk Jitra dan Alor Setar dikatakan semakin sempit dengan bertambahnya penduduk di kawasan itu dan ini secara tidak langsung bilangan kenderaan turut bertambah.
Pengguna, Mohd Aslam Omar, 56, dari Kepala Batas, Jitra berkata, sepatutnya jalan itu sudah lama dinaik taraf seperti jalan raya lain di sekitar Bandaraya Alor Setar hari ini.
Katanya, jalan itu semakin sesak terutamanya pada waktu puncak dengan terdapat beberapa sekolah dan pusat perniagaan di sekitar kawasan itu.
“Pada waktu pagi dan tengah hari jalan ini sangat sesak sehingga menyebabkan kemalangan sering berlaku apatah lagi terdapat beberapa simpang yang membahayakan.
“Sepatutnya jalan itu perlu dibesarkan supaya memudahkan pengguna jalan raya menggunakannya tetapi sejak 1970-an lagi jalan itu tidak dinaik taraf,” katanya.
Menurut Mohd Aslan, difahamkan kerja pengambilan tanah bagi membesarkan lagi laluan di situ sudah pun dilakukan sejak sekian lama tetapi sehingga hari ini belum sebarang tindakan diambil.
“Sebagai pengguna jalan raya utama di sini , saya merayulah kepada kerajaan negeri hari ini supaya mempercepatkan menaik taraf jalan utama ini supaya pengguna dapat mengguna dengan selesa dan selamat,” katanya.
Mohd Zohir Manaf, 62, pula berkata, semasa kepimpinan Barisan Nasional dahulu terdapat suara mengatakan jalan itu dianaktirikan kerana kawasan itu merupakan kubu kuat Pas.
“Bagaimanapun pada hari ini selepas Pas mentadbir Kedah sekian lama belum ada sebarang kerja menaik taraf dilakukan.
Dahulunya pelbagai tohmahan yang mengatakan kerajaan BN di bawah UMNO telah membawa peruntukan itu ke kawasan lain.
“Bagaimanapun pada hari ini apabila Pas mentadbir Kedah keadaannya masih lagi tidak berubah. Kerajaan Kedah hari ini tidak peka dengan masalah rakyat hari ini hingga mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya di Hutan Kampung,” katanya.
Jelasnya lagi, keadaan jalan yang tidak sempurna dan apabila setiap kali hujan lebat pasti terdapat beberapa kawasan akan dipenuhi air hingga membahayakan pengguna di sekitar jalan itu.
“Sepatutnya kemudahan jalan seperti ini perlu diutamakan kerana ia adalah nadi pembangunan. Dahulunya Pas sering menuding jari kepada UMNO kerana gagal untuk membaikinya.
“Bagaimanapun pada hari ini apabila Pas memerintah Kedah masalah itu masih lagi berlarutan dan mangsanya adalah pengguna jalan raya di situ,” katanya.






