LANGKAWI – Pengetua Sekolah Menengah (SM) St Michael di Penampang, Sabah menerima Anugerah Langkawi–Kelestarian Alam Sekitar (ALKAS) bagi kategori individu sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan semalam.
Jennifer Asing, 54, membawa pulang sijil, plak dan wang tunai berjumlah RM50,000 yang disampaikan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Di bawah kepimpinannya, SM St Michael telah memperoleh 12 pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR), yang mana kesemuanya berkaitan dengan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Jennifer berkata, beliau sebenarnya tidak menyangka akan dipilih menerima pengiktirafan tertinggi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Anugerah Langkawi tersebut.
“Saya memang terkejut apabila menerima berita yang saya dapat anugerah ini, jadi mungkin disebabkan sumbangan, bukan sahaja di sekolah atau sekolah-sekolah lain, tetapi juga di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Selain daripada itu juga kami giat melaksanakan inovasi yang berunsurkan alam sekitar dan banyak inovasi yang telah kami cipta dan telah menang di peringkat kenangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan HASN 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.
Beliau memaklumkan, sehingga kini, St Michael telah menempa 12 rekod dalam MBOR berkaitan alam sekitar termasuklah projek penanaman halia melibatkan ibu bapa,sekolah dan komuniti terbanyak pada tahun ini.
Sehubungan itu, Jennifer berkata, beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuklah guru, murid, ibu bapa dan komuniti membantu menjayakan projek sekolah selama ini.
Beliau menyifatkan, anugerah diterima merupakan satu penghargaan bukan setakat kepada dirinya, sebaliknya kepada semua warga Sabah.
Untuk rekod, Jennifer berkecimpung
dalam bidang pendidikan sejak 1996 dan terlibat melaksanakan pelbagai program alam sekitar yang bukan sahaja melibatkan sekolah, tetapi juga menggerakkan komuniti melalui program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam.
Beliau juga merupakan antara individu perintis dalam pelaksanaan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) seterusnya menaikkan profesion pendidikan melalui pembudayaan berterusan dalam kemenjadian murid.
Selain Jennifer menerima Anugerah Langkawi bagi kategori individu, penerima organisasi bagi Anugerah Langkawi Kelestarian Alam Sekitar
dianugerahkan kepada Tenaga Nasional Berhad dan Majlis Daerah Beaufort bagi kategori Penghargaan Khas Panel Anugerah Langkawi.






