
SEMPORNA – Polis menahan seorang penganggur lelaki selepas dikesan memiliki dadah jenis syabu seberat 51.13 gram bernilai RM5,600 menerusi Operasi Tapis di Kampung Batu, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tangkapan ke atas suspek bukan warga tempatan berumur 32 tahun itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Semporna kira-kira pukul 10.00 malam.
“Suspek dikesan mencurigakan dan semasa dihampiri, suspek bertindak agresif lalu cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dan berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki dadah yang disimpan di dalam satu bungkusan plastik hitam dan berada dalam genggaman tangannya,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Menurut Tan, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.




