
PAS akhirnya membuktikan parti itu hanya jaguh kampung yang seronok berkokok di gelanggang sendiri berikutan pengakuan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengakui kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sukar digugat menerusi undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Pengakuan Timbalan Presiden Pas itu sekali gus menjadikan usul Dewan Pemuda parti itu pada Muktamar baru-baru ini bagaikan sampah dan kelihatan syok sendiri.
Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, sindrom jiwa kacau telah melanda Pas susulan kenyataan bercanggah Tuan Ibrahim dengan keputusan usul sayap parti itu.

“Semakin tidak tentu hala parti Pas ini, jiwa kacau sebab ada yang tidak berpijak di bumi nyata dengan kedudukan Ahli Parlimen yang berpihak kepada PMX di Parlimen yang telah pun melebihi dua pertiga.
“Kenyataan Tuan Ibrahim itu jelas menjadikan usul sayap Pemuda parti itu syok sendiri, bagai sampah dan jaguh kampung yang berani berkokok di kandang mereka sendiri.
“Cakap berdegar-degar di hadapan ahli sendiri di muktamar yang sebenarnya satu tindakan sia-sia dan melihat kebodohan sayap Pemuda parti itu,” katanya ketika dihubungi TMP, hari ini.
Tidak menjadi kehairanan, menurut Azhar yang juga Senator Dewan Negara, Pas ketika ini terdesak untuk memastikan momentum ahli-ahlinya agar tidak tertawan dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia.
“Ekonomi negara semakin rancak, peluang pekerjaan semakin bertambah, inflasi pun pada kadar rendah dan kedudukan Ringgit semakin mengukuh dah hampir RM4.00 berbanding dolar .
“Pesona PMX ini bukan sahaja di dalam negara, malah nama beliau harum di peringkat antarabangsa, ini memang menjadi ketakutan Pas yang tidak mahu ahlinya mula jatuh hati dengan cara kepimpinan PMX.
“Jadi tidak hairan, mereka menggunakan muktamar, di hadapan ahli-ahli sendiri menghentam, mengecam PMX untuk terus mendoktrinkan bahawa PMX seolah-olah tidak melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan negara.
“Pas takut kehilangan sokongan ahli mereka terutama pada pilihan raya umum akan datang, jadi tak hairan usul yang tak tentu hala itu diluluskan oleh Pemuda Pas,” katanya.
Justeru, Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, Pas boleh menggunakan kaedah lebih ‘gantleman’ sekiranya masih menyimpan hasrat menurunkan Anwar dari tampuk kuasa kerajaan.
“Buat usul dalam perhimpunan parti sendiri, lepas tu pemimpin mereka pula mengaku sebaliknya, rakyat nampak Pas parti yang keanak anakan kerana perkara yang serius ini ada cara yang lebih tertib iaitu menerusi undi percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen,
“Atau pun menerusi pilihan raya umum, bukan lama lagi, dua tahun saja lagi, jadi Pas kalau nak tunjuk jantan sangat menanglah pilihan raya itu,” katanya.
Semalam, Tuan Ibrahim mengakui Kerajaan Perpaduan ketika ini sudah mempunyai kekuatan dua pertiga majoriti di Parlimen yang membuktikan tiada keperluan untuk Pas menyahut cabaran Anwar untuk mengadakan undi tidak percaya.
“Kerajaan sudah ada majoriti dua pertiga, undi usul percaya pun dia (Anwar) dah menang besar, selain kita menyokong bajet dan Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentang kerajaan,” katanya.







