PUTRAJAYA – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan B40 boleh menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) bermula hari ini dengan mudah.
Tinjauan Berita Harian ke beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang mendapati operasi stesen minyak dikunjungi penerima STR sejak pagi tadi berjalan lancar.
Pengusaha stesen minyak Petronas di Bandar Saujana Utama di Sungai Buloh, Zakaria Daud, 63, berkata, pekerjanya sudah dilatih untuk membantu pelanggan menikmati BUDI95, termasuk cara menggunakan MyKad bagi mendapatkan harga subsidi.
“Semua kakitangan kami terlatih untuk uruskan perkara ini dan mereka juga boleh membantu golongan memerlukan,” katanya.
Pengurus SHELL di Saujana Utama, Sungai Buloh, Hairuladha Hamdan, 40, pula memaklumkan, satu kaunter khas disediakan pihaknya bagi menjawab sebarang pertanyaan dan bantuan diperlukan untuk pembelian petrol bersubsidi.
“Kami sediakan satu kaunter di luar untuk membantu pelanggan buat semakan subsidi atau sebarang pertanyaan mengenai BUDI95.
“Petugas di kaunter itu akan memakai vest berwarna biru,” katanya.
Inisiatif subsidi bersasar diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 September lalu dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan sistem berjalan lancar tanpa berlaku peningkatan mendadak dalam penggunaan.






