
LIMBANG – Penduduk Limbang yang berumur 16 tahun ke atas berpeluang memperoleh Lesen Memandu Motosikal Kelas B2 secara percuma melalui Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen MADANI) yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, program ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang menetap di kawasan berkenaan, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), serta peserta daripada pusat latihan golongan B40.
Antara syarat kelayakan lain ialah pemohon mestilah sihat dari segi fizikal dan mental, belum memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM), serta bebas daripada sebarang saman aktif atau tertunggak dengan JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pemohon juga tidak tersenarai dalam senarai hitam mahkamah.
Borang permohonan boleh didapati di Pusat Khidmat Parlimen P221 Limbang, Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Limbang, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Limbang. Tarikh tutup permohonan adalah pada 8 September 2025.
Program ini diyakini mampu meringankan beban kewangan rakyat, meningkatkan keselamatan jalan raya, serta membuka peluang mobiliti yang lebih luas kepada golongan belia di Limbang.






