KUANTAN – Penduduk di kawasan pesisir pantai Kuantan, Pekan dan Rompin diminta berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula hari ini hingga Disember depan.
Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuantan, Rohushsyifa Ahmad Radzi berkata, mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai juga disarankan memantau paras air serta segera bertindak sekiranya menerima amaran daripada pihak berkuasa.
Berdasarkan data diperoleh, katanya, fenomena itu dijangka berlaku dalam beberapa siri antara 5 hingga 11 November, manakala paras tertinggi dijangka mencecah 3.8 meter pada awal Disember nanti.
“Jika air pasang besar bertembung dengan hujan lebat, risiko banjir boleh meningkat dan penduduk diminta bersiap siaga serta peka dengan tarikh penting air pasang.
“Sekiranya siren berbunyi, mereka perlu bersedia untuk berpindah atau berpindah jika diarahkan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dia berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Fungsi dan Kesedaran Stesen Telemetri dan Siren Amaran Awal Banjir di perkarangan surau Kampung Galing, dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu, Chan Chun Kuang.
Rohushsyifa menjelaskan, maklumat berkaitan paras air dan jadual pasang surut akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk tindakan lanjut serta hebahan kepada penduduk.
Katanya, taklimat kesedaran itu dijalankan bagi memastikan komuniti setempat memahami fungsi dua jenis bunyi siren yang menandakan amaran awal dan arahan berpindah.
“Buat masa ini, taklimat diadakan di Kuantan terlebih dahulu dan kita harap pihak kampung dapat bantu hebahkan maklumat kepada penduduk lain,” ujarnya.
Beliau berkata, sebanyak 57 lokasi berisiko banjir dikenal pasti di daerah ini dan dipantau menggunakan sistem siren amaran awal yang beroperasi secara ‘masa nyata’ melalui aplikasi Public Info Banjir.





