
KOTA KINABALU – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sabah memaklumkan bahawa bilangan penduduk bukan warganegara di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.32 peratus pada tahun 2025, kepada 1,040.2 ribu orang berbanding 1,043.6 ribu orang pada tahun sebelumnya.
DOSM Negeri Sabah dalam kenyataannya memaklumkan, bagi tempoh 1991 hingga 2025, Sabah merekodkan peratusan tertinggi bagi bilangan penduduk bukan warganegara berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, pada tahun 1991 iaitu 56.5 peratus (453.47 ribu orang).
“Manakala dari segi bilangan tertinggi penduduk bukan warganegara di Sabah pula direkodkan pada 2018 iaitu seramai 1,158.7 ribu orang, berbanding anggaran bagi tahun 2025 yang masih berada di bawah paras tersebut,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.

Jelas DOSM, tempoh 2020 hingga 2022 memperlihatkan perubahan ketara struktur penduduk susulan pandemik COVID-19, dengan penurunan bilangan penduduk bukan warganegara direkodkan di peringkat nasional dan negeri.
Pada 2021, bilangan penduduk bukan warganegara di Malaysia menurun kepada 2.56 juta orang, manakala di Sabah kepada 0.78 juta orang berbanding tempoh sebelum pandemik.
“Dari segi taburan daerah, Sandakan merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi pada 2025 iaitu 195.1 ribu orang, diikuti Tawau (142.9 ribu) dan Kota Kinabalu (125.4 ribu).
“Berdasarkan komposisi penduduk pula, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus, diikuti Kalabakan (69.3 peratus) dan Kunak (53.4 peratus),” katanya.
Sementara itu, DOSM turut menyatakan bahawa kadar pertumbuhan tahunan penduduk bukan warganegara di Kota Kinabalu meningkat kepada 2.9 peratus (125.4 ribu orang) pada 2025 berbanding 16.4 peratus (121.8 ribu orang) pada 2024.
“Peningkatan berkenaan didorong oleh pasca pandemik COVID-19, khususnya pembukaan semula sektor ekonomi dan pendidikan yang menyaksikan kemasukan tenaga kerja serta pelajar antarabangsa.
“Bagaimanapun, jumlah tersebut masih lebih rendah berbanding rekod pada 2018 iaitu 144.7 ribu orang di Kota Kinabalu,” ujar beliau.
Tambahnya, anggaran penduduk bukan warganegara bagi 2025 disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun Julai 2024 hingga Jun 2025, berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menggunakan konsep de jure.
“Konsep ini merujuk kepada individu yang telah atau akan menetap sebagai ahli biasa isi rumah selama enam bulan atau lebih dalam tahun rujukan berdasarkan tempat tinggal biasa dan tidak mengambil kira ‘daytime’ dan ‘nightime population’,” jelasnya.
DOSM turut memaklumkan bahawa kehadiran populasi ‘daytime’ dan ‘nightime’ menyumbang kepada peningkatan bilangan penduduk khususnya di kawasan bandar bagi tujuan pekerjaan, perniagaan, urusan rasmi, pelancongan serta aktiviti harian lain.




