
KUCHING – Pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.
Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pendidikan tinggi bukan sahaja medan memperoleh sijil tetapi melahirkan tanggungjawab sosial dan semangat keusahawan pelajar.
“Pendidikan yang berkualiti bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi membentuk individu yang mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Khamis.
Sementara itu, Wan Junaidi dan isteri, Datin Seri Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak yang diketuai oleh Profesor Dr. Firdaus Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Sarawak di Bilik Menghadap Utama, Astana Negeri Sarawak.
Pertemuan tersebut membincangkan peranan UiTM dalam ekosistem pendidikan tinggi di Sarawak.
Difahamkan pelbagai cabaran dan peluang dibincangkan termasuk usaha memperkukuh UiTM sebagai pemacu utama pembangunan modal insan Bumiputera di Sarawak.
Wan Junaidi menghargai pertemuan ini dan berharap agar perbincangan yang berlangsung dapat diterjemahkan ke dalam tindakan nyata demi manfaat semua pihak.




