Penderitaan Muhammad Sufi dapat perhatian Perdana Menteri

JITRA – Kisah menyayat hati seorang ahli fisioterapi yang tular kerana menjual daging salai untuk membiayai implan tengkoraknya mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyalurkan sumbangan RM15,000 untuk menampung kos rawatannya.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, oleh Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Zaiton Yahya yang berkunjung ke rumahnya di Taman Jitra Indah pada Rabu.

Muhammad Sufi yang merupakan bapa tunggal kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun dilihat begitu terharu atas keprihatinan Perdana Menteri dan tidak menyangka kisahnya itu mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kemurahan hati dan keprihatinan beliau dengan membantu kos rawatan saya,” katanya.

Ahli fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah itu mengalami kecederaan parah di kepala dalam kemalangan motosikal dua tahun lalu dan nekad menjual daging salai untuk menampung perbelanjaan perubatannya.

“Saya terlibat dalam kemalangan di Tanah Merah berdekatan Jitra pada Disember 2023. Saya tergelincir dan terjatuh dari basikal di jalan berpasir yang licin pada jam 3 pagi.

“Kemalangan itu menyebabkan saya mengalami kecederaan teruk di kepala. Saya koma dan lumpuh buat sementara waktu, malah turut mengalami pendarahan otak dalaman.

“Sejak itu, saya menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan dijadualkan untuk implan tengkorak pada bulan depan,” katanya.

Sufi berkata, dia masih menyesuaikan diri dengan koordinasi anggota badan akibat strok di sebelah kiri badannya.

“Sekiranya prosedur implan berjalan lancar, saya harap dapat beri tumpuan kepada rawatan psikiatri untuk bantu saya dalam proses pemulihan sepenuhnya dan kembali bekerja sebagai ahli fisioterapi,” ujarnya penuh harapan.

Menurutnya lagi, dia memerlukan rawatan psikiatri berikutan kecederaan otak yang membuatkan dirinya turut mengalami perubahan mood dan kadangkala bertindak secara impulsif.

“Saya seorang yang bersemangat dengan kerjaya saya, saya harap untuk pulih sepenuhnya supaya saya boleh bekerja sebagai ahli fisioterapi semula.

“Saya juga suka memasak, apabila keadaan saya semakin pulih, saya mahu kembali bekerja seperti dulu,” tambahnya.

Penderitaan Sufi mula mendapat perhatian ramai setelah video TikToknya tular, dan ramai tampil membantu dengan membuat tempahan untuk daging salai termasuk dari luar Kedah.

“Sebelum kisah saya tular, saya agak bergelut juga cari pesanan, saya banyak bergantung kepada rakan-rakan rapat dan jiran untuk jualan.

“Selepas itu, boleh dikatakan saya tidak henti-henti terima pesanan dalam tiga hari lalu. Buat masa ini, saya ada kira-kira 20 kilogram daging salai untuk disediakan dan dihantar kepada pelanggan,” katanya yang tinggal bersama ibunya, Nooraini Ishak, 71, yang merupakan seorang jururawat yang telah bersara.

Sementara, Zaiton memaklumkan, kisah sedih Sufi mendapat perhatian Pejabat Perdana Menteri yang meminta dirinya untuk meninjau keadaan Sufi termasuk menyampaikan sumbangan selepas kisahnya itu mendapat sokongan netizen.

Beliau berkata, sumbangan tunai RM15,000 itu disertakan dengan bakul makanan bagi membantu meringankan beban keluarga itu.

“Kami berdoa agar beliau pulih dengan cepat dan pembedahan akan berjaya dengan lancar, yang dijangka pada Mac,” tambahnya.

Related Posts

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

MUKAH – Upacara tradisi Seraheng Kakan terus menjadi pembuka tirai utama Pesta Kaul masyarakat Melanau, dengan peningkatan kehadiran pelawat yang sekali gus merancakkan semula sektor ekonomi dan perniagaan tempatan. Timbalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

BETONG – Selepas 16 tahun menyepi, kemeriahan sorakan di tebing Sungai Layar kembali bergema menerusi penganjuran Regatta Betong 2026 yang menyasarkan pemerkasaan warisan budaya serta pemangkin ekonomi setempat. Acara sukan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎