
KOTA KINABALU – Vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah berjaya mencapai jumlah pendapatan RM2 bilion daripada kontrak Petronas dan Kontraktor Susunan Petroleum (PAC) yang bermula 2021 hingga 2024.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu, RM1 bilion diperoleh pada tahun lepas yang mencatatkan peningkatan sebanyak 229 peratus daripada RM613 juta pada 2021 kepada RM1 bilion pada 2024.
“Jumlah syarikat OGSE Sabah turut meningkat kepada sebanyak 91 peratus iaitu 79 syarikat kepada 151 syarikat.
“Pencapaian yang luar biasa ini membuktikan kejayaan usaha kerjasama kita sejak Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) ditandatangani dengan pihak Petronas pada Disember 2021 untuk mengekalkan dan meningkatkan keupayaan vendor-vendor tempatan Sabah,” katanya.
Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun pada Majlis Meraihkan Vendor OGSE Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Beliau menjelaskan, CCA adalah satu langkah terbaik kerana berjaya membuka jalan untuk kerjasama bersama dan inisiatif strategik.
“Antara inisiatif berkenaan adalah Program Mentorship Sabah, yang merupakan inisiatif utama Petronas dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Inisiatif itu menjadi asas program dengan menyatukan penyedia perkhidmatan teknikal berpengalaman dengan vendor-vendor Sabah bagi memupuk pemindahan pengetahuan, kerjasama, dan pembangunan keupayaan teknikal selaras rancangan tender minyak dan gas Sabah.
“Program ini bukan sahaja memberi kuasa kepada rakyat Sabah dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, tetapi juga mengukuhkan saluran vendor yang berkelayakan, memastikan industri ini mempunyai masa depan yang mampan.
“Bagi meneruskan agenda ini, kerajaan negeri, melalui SMJ Energy, menubuhkan Majlis Kandungan Tempatan Sabah pada Mei tahun lalu, yang berfungsi sebagai platform kerjasama untuk pihak berkepentingan industri, juga bagi menangani cabaran dan mengenal pasti peluang meningkatkan pembangunan kapasiti kandungan tempatan dalam industri OGSE,” jelasnya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata melalui platform tersebut Kerajaan Negeri akan mewajibkan semua pihak berkepentingan untuk melabur dalam latihan dan pembangunan rakyat Sabah melalui program jangka pendek dan sederhana yang akan dilaksanakan pada 2025.
“Saya tekankan kepentingan mengutamakan penggajian rakyat Sabah dalam semua projek dan operasi di dalam negeri oleh itu saya mahu semua pemain industri menghormati dan mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip teras komitmen dalam pembangunan tempatan.
“Saya gembira mengetahui bahawa 88 vendor Sabah berjaya memperoleh kontrak dan pesanan pembelian daripada Petronas dan PAC pada 2024, ini mencerminkan daya tahan dan daya saing perniagaan tempatan kita serta keupayaan mereka berkembang maju dalam industri yang dinamik dan mencabar,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Petronas dan pihak berkepentingan lain untuk meningkatkan persekitaran perniagaan bagi vendor tempatan.
“Oleh itu, saya menggesa syarikat OGSE Sabah untuk memanfaatkan setiap peluang bagi meningkatkan aliran pendapatan mereka, mengembangkan operasi syarikat mereka, dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.
“Utamakan latihan dan pembangunan rakyat Sabah untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka dalam industri OGSE.
“Sentiasa kemas kini dengan maklumat pasaran yang memberikan pandangan berharga mengenai peluang dalam sektor minyak dan gas Sabah,” katanya.



