
SANDAKAN – Beberapa pelan pemulihan perniagaan termasuk moratorium pembiayaan dan penstrukturan semula kemudahan kewangan ditawarkan kepada usahawan yang terjejas dengan kebakaran di Kampung (Kg) Bahagia.
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada usahawan yang terkesan untuk kembali menstabilkan perniagaan mereka tanpa tekanan kewangan dalam tempoh terdekat.
“Inisiatif itu melibatkan usahawan di bawah agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional Nasional serta Bank Rakyat yang bersetuju menangguhkan bayaran pinjaman bagi tempoh berkenaan termasuk pemberian moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan.
“Selain itu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melalui Tabung Kesejahteraan dan Manfaat Sahabat (TKKS) turut menawarkan bantuan sehingga RM5,000 kepada setiap usahawan yang terjejas bagi membantu mereka memulakan semula perniagaan.
“Bagi usahawan AIM yang memerlukan rawatan hospital pula, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM50 sehari sepanjang tempoh rawatan,” katanya kepada media selepas melawat mangsa kebakaran, di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM30,000 kepada koperasi terlibat bagi tujuan pemulihan perniagaan, selain bantuan segera RM3,000.
Katanya, kesemua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen KUSKOP bersama agensi di bawahnya dalam membela nasib usahawan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan.
“Kita faham majoriti usahawan ini bukan daripada golongan berada, jadi bantuan ini amat penting untuk memastikan mereka dapat bangkit semula.
“Kita akan terus memantau keadaan dan bersedia menyalurkan bantuan tambahan termasuk pembiayaan baharu berdasarkan permohonan yang dikemukakan.
“Dalam pada itu, TEKUN turut menawarkan kemudahan pembiayaan tambahan walaupun usahawan masih mempunyai pinjaman sedia ada, bagi membolehkan mereka memulakan semula perniagaan.,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan seramai 70 usahawan dikenal pasti terjejas, melibatkan 33 usahawan TEKUN, 34 usahawan AIM dan tiga usahawan Bank Rakyat.
Selain itu, tujuh koperasi di bawah SKM dengan keanggotaan kira-kira 300 individu turut terkesan dalam insiden tersebut.
Dalam perkembangan sama, Yayasan Bank Rakyat (YBR) turut tampil membantu dengan menyalurkan sumbangan kepada pelajar yang terlibat, tertakluk kepada semakan bersama pihak Pejabat Pendidikan Daerah.




