
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengesahkan bahawa angka tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 adalah tepat dan mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan yang ketat.
Menerusi satu kenyataan, KWSP berkata semua keputusan pelaburan melalui ketekunan wajar yang rapi sejajar dengan mandat KWSP dalam mengutamakan pemeliharaan nilai jangka panjang.
“Memandangkan simpanan persaraan adalah kepentingan nasional, KWSP kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi dan mengembangkan dana ahli dengan profesionalisme, akauntabiliti, dan ketelusan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Organisasi itu berkata bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM66.99 bilion dengan pendapatan pelaburan bersih berjumlah RM63.48 bilion, selaras dengan angka yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan II.
“Angka-angka ini adalah selaras dengan rangka kerja pelaporan KWSP yang telah ditetapkan, dan mematuhi Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS),” katanya.
KWSP juga menegaskan bahawa tiada kesilapan, salah nyata atau cubaan untuk menahan maklumat seperti yang didakwa.
Pengumuman itu juga dilaporkan di laman webnya bertajuk KWSP Kekalkan Prestasi Kukuh dengan Dividen 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah” pada 3 Mac, 2024.
Mengenai harga urus niaga saham MAHB pada 2023, ia menjelaskan julat harga yang disebut sebelum ini antara RM5.40 hingga RM7.36 sesaham terkandung dalam soalan yang dikemukakan di Parlimen oleh seorang Ahli Parlimen.
“Semakan penuh semua urus niaga 2023 mengesahkan julat harga yang disahkan ialah RM6.80 hingga RM7.70 sesaham.
“Jumlah keuntungan direalisasikan daripada urus niaga ini ialah RM102 juta, termasuk keuntungan modal dan dividen yang dijana oleh pengurus dana dalaman dan luaran,” katanya.
Tambah organisasi itu, angka awal RM100.7 juta yang dirujuk dalam perbincangan tidak termasuk beberapa dividen yang diterima oleh pengurus luar dan telah diselaraskan.
Pelaburan KWSP dalam MAHB menyumbang kepada prestasi KWSP dan mengisytiharkan pembayaran dividen yang lebih tinggi untuk 2023, dengan 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional (berbanding 5.35 peratus pada 2022), dengan jumlah pembayaran RM50.33 bilion; dan 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah (berbanding 4.75 peratus pada 2022), dengan jumlah pembayaran RM7.48 bilion.
Justeru, KWSP berkata ia kekal komited terhadap ketelusan dan menjemput dialog yang membina bersama penggubal undang-undang, pihak berkepentingan, dan orang ramai untuk memastikan polisinya terus berkhidmat dengan cemerlang untuk kepentingan negara dan ahlinya.





