Penceramah hanya perlu akur peraturan Enakmen Pentadbiran Agama Islam P.Pinang

GEORGE TOWN – Pulau Pinang merupakan antara negeri yang paling mudah untuk mendapatkan tauliah bagi menyampaikan ceramah agama, asalkan penceramah mematuhi semua garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa agama.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, isu penceramah dihalang daripada menyampaikan kuliah tidak sepatutnya timbul sekiranya mereka akur terhadap peraturan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

Menurutnya, sebarang penganjuran ceramah atau pelantikan penceramah perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Pulau Pinang ialah negeri berdaulat dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Oleh itu, setiap ceramah agama mesti melalui saluran yang betul.

“Saya sendiri telah menghentikan kuliah penceramah tanpa tauliah sejak Oktober tahun lalu. Namun, selepas enam bulan, kuliah kembali berjalan lancar dengan sistem tauliah yang lebih teratur,” katanya ketika ditemui pada satu program rasmi hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang di Sunshine Mall.

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan setiap permohonan tauliah akan dinilai oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran dan Kuliah, yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri, dengan keanggotaan termasuk wakil JHEAIPP dan tokoh agama.

“Jika seseorang itu mempunyai pengalaman lebih 10 tahun mengajar atau pernah menjadi guru agama di negeri lain, mereka boleh diberi tauliah tanpa perlu hadir temuduga atau menduduki ujian bertulis.

“Namun syaratnya, mereka tidak terlibat dalam sebarang kontroversi dan mematuhi 13 garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya JHEAIPP mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan ceramah agama, manakala pejabat Timbalan Ketua Menteri hanya berperanan dalam merangka dasar dan polisi.

“Isu tauliah ini tidak sepatutnya dijadikan polemik. Dasar kita jelas dan prosedurnya mudah. Jika ikut saluran betul, tidak akan timbul masalah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tular melibatkan seorang pendakwah yang mendakwa dihalang daripada menyampaikan ceramah baru-baru ini, Mohamad menegaskan individu tersebut tidak memiliki tauliah dan gagal mengemukakan permohonan kebenaran khas seperti yang dikehendaki.

“Permohonan khas mesti dibuat oleh pihak masjid kepada JHEAIPP melalui Borang 3. Tetapi dalam kes ini, tiada permohonan dihantar. Jadi, tindakan penguat kuasa adalah mengikut prosedur,” jelas beliau.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa pejabatnya mengeluarkan arahan untuk menghalang program ceramah tersebut.

“Saya terkejut apabila nama pejabat saya disebut. Arahan itu datang daripada pihak berkuasa agama, bukan saya. Dakwaan tersebut tidak berasas dan berbaur politik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan program wacana ilmu bersama penceramah bebas, Dr Wan Ji Wan Hussin, yang dijadual berlangsung di Masjid Sembilang, Seberang Jaya pada malam Ahad, didakwa dibatalkan di saat akhir kerana isu tauliah.

Program yang sepatutnya diadakan selepas solat Maghrib itu dianjurkan bersama oleh Biro Penerangan dan Penerangan Agama (BIPPA) dan Masjid Sembilang, serta bertemakan “Iktibar dan Kesan Konflik Pemerintahan Saidina Usman”.

Wan Ji menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa penganjur memaklumkan bahawa program tersebut dibatalkan kerana dihalang oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Related Posts

Polis sedang cuti individu tular tampar lelaki di stesen minyak

JOHOR BAHRU – Individu terbabit dalam insiden seorang lelaki ditampar di sebuah stesen minyak di Taman Perling, di sini, semalam, sebagaimana tular dalam media sosial, disahkan adalah seorang anggota polis.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SPR keluar 446 kertas undi pos bagi PRK Kinabatangan, Lamag

KINABATANGAN – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengeluarkan sebanyak 446 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ta’awun atau taktik? Bila agama dijadikan perisai kegagalan politik

Ta’awun atau taktik?  Bila agama dijadikan perisai kegagalan politik

Tiga tahun pentadbiran PMX dari sudut pandang sosial rakyat

Tiga tahun pentadbiran PMX dari sudut pandang sosial rakyat

Polis sedang cuti individu tular tampar lelaki di stesen minyak

Polis sedang cuti individu tular tampar lelaki di stesen minyak

SPR keluar 446 kertas undi pos bagi PRK Kinabatangan, Lamag

  • By Fatin
  • January 12, 2026
SPR keluar 446 kertas undi pos bagi PRK Kinabatangan, Lamag

RM21.476 juta untuk kemudahan rakyat Kadamaian, Jalan Taginambur–Kamburaon dinaik taraf

RM21.476 juta untuk kemudahan rakyat Kadamaian, Jalan Taginambur–Kamburaon dinaik taraf

Sarawak perkenal Program Bas Sekolah Percuma, rintis penggunaan teknologi pintar

Sarawak perkenal Program Bas Sekolah Percuma, rintis penggunaan teknologi pintar