
KERAJAAN akan meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) dan penerima pencen terbitan yang telah menerima PKKP sekali gus menjaga kebajikan golongan berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
“Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) telah berkuat kuasa 1 Disember 2024 dan kemudian dilengkapkan pada Januari 2025 adalah berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan Seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).
“Kerajaan memutuskan supaya amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2025,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika sidang media bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah meneruskan PKKP itu bagi memastikan golongan berkenaan menerima jumlah yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup.
Katanya, ia juga adalah bukti keprihatinan Kerajaan Madani kepada rakyat di Malaysia selaras dengan konsep Ihsan.








