KOTA KINABALU – Pemohon kerja perlu berhati-hati dalam membuat sebarang permohonan kerja bagi mengelak menjadi mangsa scammer.
Menurut Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Dr Azman Abu Bakar, penipuan dalam permohonan kerjaya semakin meningkat.
“Saya nak maklumkan sekarang ini terlalu ramai scammer menggunakan muka kami di Facebook seterusnya menawarkan jawatan dengan bayaran konon jaminan dapat jawatan.
“Jangan pernah percaya akan tawaran seperti itu.
”Biasanya kami akan buat laporan polis seterusnya polis akan membuat siasatan lanjut,” katanya semasa menyampaikan SPA Talk bertajuk Tips Menghadiri Temu Duga SPA.
Beliau menyeru pemohon pekerja agar tidak mudah terpedaya jika ada pihak yang minta bayaran untuk menawarkan pekerjaan.
Katanya, semua pemohon perlu melalui proses yang sama untuk menerima panggilan temu duga.
Tambah beliau, penguasaan bahasa selain Bahasa Malaysia juga amat penting bagi meningkatkan lagi potensi untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
Seramai 1,994 peserta hadir ke Hari Terbuka Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bertempat di Auditorium Pusat Pengajian Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah, di sini pada Sabtu.
Program ini memberi manfaat kepada orang ramai khususnya golongan belia yang sedang mencari pekerjaan.
Hari terbuka itu bertujuan memberi khidmat nasihat berkaitan peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam dan swasta, memberi pendedahan berkaitan lanskap dan kaedah penilaian serta peluang pekerjaan pada masa kini.
Antara pengisian program adalah SPA Talk: Tips menghadiri temu duga oleh ahli SPA, Poket Talk: Pengenalan Kerjaya oleh Jabatan, temu duga terbuka majikan swasta dan Pendaftaran Sistem SPA9.





